Oleh: Akhmal Hakim Mohamad (Kemilau Adiwarna)
Seorang
guru sejati tidak akan dapat dilupakan oleh pelajar-pelajar yang menyayanginya.
Begitulah pesona seorang guru yang bernama Mohamad Zuber bin Ismail yang telah
mendidik kami dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Pangkat doktor falsafah
yang dimiliki tidak menghalang dirinya untuk terus merendah diri hingga kami
selesa memanggil beliau dengan panggilan “Cikgu Zuber”. Menurut beliau, dirinya
tidak selesa dipanggil doktor. Hanya panggilan “cikgu” yang mampu ia terima.
Kemanisan senyuman beliau sering menyapa
sesiapa sahaja yang bertemu dengannya, tidak kira sahabat, kakitangan kulliyyah,
pelajar, mahupun orang-orang Kampung Panchor dan sekitarnya. Senyumannya hadir
dengan rasa ikhlas dan rendah diri menandakan peribadinya yang penuh dengan
sifat terpuji. Keriangan dan sifat peramahnya dirasai setiap orang yang berada
di sekelilingnya. Bahkan, hari-hari kami dengannya dalam bilik kuliah tidak
akan lengkap tanpa keriangan, gelak tawa dan canda oleh beliau. Namun, senyuman
dan gelak tawa itu sudah tidak ada lagi menyapa kami. Pada 16hb April 2022 yang
bersamaan 14 Ramadan 1443H, guru yang kami cintai ini telah kembali ke pangkuan
Yang Maha Tinggi. Pemergian beliau merupakan suatu kehilangan yang amat besar
buat ahli keluarga, sahabat, kenalan dan tentu sekali seluruh warga Kulliyyah
Bahasa dan Pengurusan (KLM) serta bekas-bekas pelajarnya. Secara jujurnya, saya
amat terdampak dengan pemergian beliau pada bulan yang mulia ini! Cikgu Zuber
telah pergi tanpa pesan. Beliau meninggalkan kami dengan warisan ilmu yang
tidak akan dilupakan.
Sebagai seorang pelajar yang pernah
dilenturbentukkan oleh beliau, saya berasa amat bersyukur kerana Allah SWT
menghadirkan seorang guru yang begitu ikhlas ketika mendidik. Berkat tunjuk
ajar, nasihat, teguran dan bimbingan yang dicurahkan, saya telah menjadi
seseorang yang mampu tampil berani ke hadapan untuk menyuarakan pendapat dan
lebih kritis dalam kerangka pemikiran. Sementelahan, beliaulah yang
melengkapkan saya dengan kemahiran pengucapan awam. Melalui tunjuk ajarnya,
saya telah dididik dengan kemahiran menyuarakan hujah dengan kesantunan dan
menggunakan bahasa yang baik. Saya juga tidak akan lupa jasanya yang mendidik
saya tentang ilmu Kesusasteraan Melayu dan penulisan ilmiah. Beliaulah guru
pertama yang membuka minda saya meminati bidang penyelidikan bahasa dan sastera.
Pemergian beliau pada hari ini, membawa ingatan
saya kembali pada bulan September, tahun
2016. Pada tahun tersebut, saya bertemu dengan beliau buat pertama kalinya dan
ketika itu beliau sedang duduk di hadapan pejabat KLM (ketika itu KLM masih
beroperasi di KICT). Saya menyapa beliau, “Assalamualaikum Encik. Saya pelajar
baharu. Di mana saya boleh mendaftarkan mata pelajaran saya?” Beliau menjawab “Waalaikumsalam.
Awak pelajar jurusan apa?” Lantas diri ini dengan polosnya menjawab, “MLCOM,
Encik”. Reaksi beliau pada ketika itu tampak gembira. Senyuman dibibirnya.
Mungkin gembira kerana dapat bertemu pelajar baharu MLCOM. Lantas, beliau pun
segera memanggil kerani yang bertugas “Oh, MLCOM ya. Sekejap ya, saya panggilkan
Puan ‘Atikah”.
Setelah itu, bermulalah perkenalan kami dalam
pelbagai program anjuran Kulliyyah. Kami selalu bekerjasama dalam banyak
program sehingga menjadi semakin akrab. Hubungan kami tidak hanya sebatas
pelajar dengan guru, tetapi kami merupakan sahabat yang begitu karib.
Kendatipun begitu, hubungan itu tidak menjadikan diri ini lupa diri dan sentiasa
menghormati Cikgu Zuber seperti bapa sendiri. Apabila dikenang segala kebaikan
cikgu, sememangnya tidak akan pernah habis untuk diceritakan. Bahkan tidak akan
pernah jemu untuk dikatakan.
Arwah Cikgu Zuber sentiasa membantu saya dalam
pelajaran. Cikgu tahu bahawa saya bukannya pelajar yang berasal dari keluarga
yang senang. Cikgu selalu memberikan sumbangan kepada saya dalam bentuk makanan
dan wang. Bukan saya sahaja, bahkan sahabat saya Mohd Shahdan dan Normadihah
juga sering dibantu oleh beliau. Kami tidak pernah mengharapkan bantuannya,
namun keikhlasan yang ada dalam diri cikgu memang tidak dapat untuk ditolak.
Kami bertiga (saya, Shahdan dan Normadihah) merupakan pelajar yang sering
dibantu oleh beliau.
Cikgu Zuber insan yang tidak pernah lupa bersedekah.
Bersedekah merupakan amalannya. Bersedekah bukan sahaja kepada pelajar-pelajar
seperti kami, tapi turut bersedekah kepada masjid dan orang-orang kampung. Saya
teringat dengan amanat beliau “Walau sesusah mana kita, jangan lupa beri
sedekah (menyumbang) kepada surau. Seringgit pun jadilah. Kalau pergi masjid
atau surau, jangan lupa sedekah dalam tabung masjid.” Itulah amanat yang
sentiasa terngiang-ngiang dalam telinga tatkala diri ini berada di masjid.
Cikgu Zuber insan yang ceria. Beliau tidak pernah
tidak gembira sepanjang kami mengenalinya. Ada-ada sahaja cerita lucu, bahkan
gelak tawa yang dikongsikan bersama. Masih teringat lagi diri ini dengan
kenangan ketika tahun-tahun pertama belajar di Pagoh. Ketika itu, Cikgu Zuber
belum ada kereta. Yang ada cuma motosikal Hondanya yang menjadi tunjang
pergerakannya sepanjang mengajar di Pagoh. Setiap seminggu atau dua minggu
sekali, cikgu meminta saya untuk menghantarnya ke Pekan Pagoh dengan menaiki
motosikalnya pada waktu malam kerana cikgu perlu kembali ke Kuala Lumpur (KL).
Kebiasaannya, cikgu akan kembali ke KL pada hari Khamis atau Jumaat. Cikgu akan
menaiki bas KKKL dan menunggu bas tersebut di Pekan Pagoh. Cikgu amat sayang
untuk meninggalkan rumahnya yang terletak di Gombak itu. Sepanjang berada di
atas motosikal, saya sentiasa tersenyum dan ketawa dengan gelagat cikgu. Cikgu
suka menyanyi di atas motosikalnya. Lagu kegemarannya yang tidak pernah dia
lupa untuk nyanyikan sepanjang berada di atas motosikal ialah lagu Zaiton
Sameon yang bertajuk “Menaruh Harapan.” Lagu-lagu arwah Sudirman juga pernah
dinyanyikan oleh beliau. Diri ini masih dapat merasakan suaranya yang begitu
ceria menyanyikan lagu tersebut.
Di sebalik gurau sendanya, ada juga sisi serius
yang ada dalam diri cikgu. Hal ini terpancar ketika mengajar di dalam kelas dan
juga sesi pertemuan kami di pejabatnya yang membincangkan perihal penerbitan
kajian dalam jurnal-jurnal. Beliau juga merupakan insan yang bertanggungjawab
memasukkan “roh” cinta akan penyelidikan dalam diri ini. Beliau sangat kritis
dalam semakannya dan sentiasa berdedikasi untuk mendidik saya dan
memperbetulkan kesilapan saya. Saya masih ingat lagi kenangan saya berkampung
di pejabatnya untuk menyiapkan beberapa kajian untuk terbitan bersama.
Sesungguhnya, itulah kenangan yang tidak dapat dipadamkan daripada memori ini.
Di samping itu, cikgu mempunyai sifat yang
sangat saya cemburui, iaitu sifat pemaaf. Meskipun dirinya pernah berhadapan
dengan masalah ketika berada di KLM, namun dirinya tidak pernah membenci,
bahkan dirinya mudah untuk melupakan perkara-perkara negatif yang berlaku
kepada dirinya. Saya masih ingat lagi, ketika ada sekumpulan pelajar yang
membuat laporan tentang cikgu dalam Students Feedback Survey. Menurut saya,
itulah perkara yang paling tidak masuk akal yang terjadi kepada cikgu kerana
sebagai seorang pelajarnya, saya tidak pernah melihat cikgu tidak ada pengisian
ketika pelajaran, tidak serius dan sambil lewa ketika mengajar. Itu merupakan
tuduhan yang berat dan cikgu terpaksa dipanggil oleh pihak pengurusan. Namun,
setelah itu, saya bertemu dengan cikgu dan saya menyatakan kekesalan dengan
tindakan pelajar-pelajar tersebut. Beliau hanya mengatakan “Geram dengan
pelajar-pelajar itu memang ada. Tapi, nak buat macam mana lagi kan? Itu
pendapat mereka. Kita ni, kalau dah buat baik dengan orang yang membenci kita,
memang selama-lamanya kebaikan kita itu dipandang sebagai keburukan bagi
mereka. Biarlah. Nanti jika menjadi pendidik, mereka akan tahu. Saya dah
maafkan mereka, bahkan tidak kecil hati dengan mereka. Tak hidup dek puji, tak
mati dek keji.” Kata-katanya itu tidaklah seratus peratus sama dengan yang saya
nyatakan, tetapi saya ingat lagi isi-isi penting yang dikatakan oleh beliau
pada hari tersebut.
Kebaikan
cikgu tidak dapat saya ceritakan semuanya. Memang terlalu banyak budi, jasa dan
pengorbanannya kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Cikgu, saya yakin bahawa
segala amalan baik cikgu akan mendapat balasan daripada Allah. Sifat cikgu yang
mementingkan solat awal waktu juga tidak akan pernah saya lupakan dan akan saya
jadikan amalan harian. Saya juga tidak akan dapat melupakan bantuan, sokongan,
nasihat dan kasih sayang yang diberikan kepada saya dan seluruh insan yang
mengenali cikgu. Tunjuk ajar cikgu kepada saya bukan hanya terlunas dalam subjek
kelas semata-mata, malah cikgu sentiasa mendidik saya secara tidak langsung
dengan sentiasa menunjukkan teladan yang baik. Tutur kata cikgu yang penuh
susila dan santun ketika berbicara dengan rakan setugas dan pelajar telah
menginspirasikan saya agar sentiasa berbudi pekerti.
Nasihat-nasihat cikgu terutamanya tentang hal
keagamaan menjadikan saya bersemangat untuk terus istiqamah dalam menjaga
hablumminallah. Keramahan cikgu dengan orang-orang sekeliling memberikan
teladan tentang pentingnya hablumminannas. Cikgu Mohamad Zuber bin Ismail
hanyalah seorang guru biasa. Namun, kemampuan beliau untuk memancarkan
cahaya-cahaya ilmu dengan terang, menyulam peribadi mulia dan memayung teduh
pelajar-pelajarnya dengan kasih sayang adalah sesuatu yang luar biasa! Saya
sungguh bertuah kerana menjadi seorang daripada ribuan pelajar yang pernah
diajar oleh beliau. Sungguh besar budi dan pahalamu, Cikgu Zuber.
Cikgu Zuber yang sentiasa diingati.
Saya titipkan tulisan ini sebagai tanda
penghargaan daripada saya dan seluruh pelajar yang pernah merasai curahan ilmu
oleh cikgu. Tinta ini juga merupakan bingkisan kerinduan daripada seluruh warga
KLM buat Cikgu Zuber yang kami selalu ingat dengan sifat rendah diri, periang dan
peramah. Kenangan bersama-sama cikgu sememangnya tidak dapat diputarkan
kembali, namun hanya dapat diingati sebagai sebuah kenangan yang terindah. Meskipun
cikgu telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya, tunjuk ajar, semangat,
nasihat dan budi pekerti cikgu kekal tersemat dalam hati kami. Kami akan selalu
merindui ketenangan, ketabahan dan kemuliaan hati cikgu.
Cikgu, terima kasih banyak-banyak. Cikgu telah meninggalkan saya, Shahdan, Normadihah, Dr. Arina, Dr. Siti Yuliandi, Dr. Nor Zainiyah, Dr. Hanilah. Cikgu telah pergi meninggalkan kami. Ya, meninggalkan kami dengan penuh kerinduan. Hati dan kerinduan kami telah cikgu bawa menemui Pencipta Yang Maha Tinggi. Berehatlah dengan tenang, cikgu. Cikgu sudah tidak sakit lagi. Sehingga kini saya yakin bahawa cikgu masih lagi ada di sisi kami kerana kehangatan kenangan dan ilmu yang dicurahkan kepada saya masih dapat dirasakan. Terima kasih Cikgu Zuber kerana pesonamu telah membawa kami mengenal erti kehidupan untuk membahagiakan orang sekeliling. Semoga cikgu pulang kepada-Nya dengan penuh rahmat daripada Maha Pencipta. Tenanglah cikgu di sana, kami akan menyusul. Biarlah gambar-gambar di bawah berbicara dan menjadi saksi hubungan persabahatan kita, cikgu. Kami merindui cikgu!
Al-Fatihah buat Cikgu Mohamad Zuber bin Ismail (1974 - 2022)
Akhmal Hakim Mohamad












.jpeg)
.jpeg)


Ulasan
Catat Ulasan