Oleh: Akhmal Hakim bin Mohamad (Kemilau Adiwarna)
Kepulauan Nusantara merupakan kepulauan yang terdiri daripada negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina dan beberapa negara lain. Di kepulauan ini, terdapat lebih kurang 400 juta penduduk yang menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan seharian. Walaupun berada dalam negara yang berbeza dan terdapat perbezaan daripada segi dialek Melayu mengikut kawasan, bahasa Melayu tetap digunakan dan difahami apabila penutur antara negara ini bertemu. Bukan itu sahaja, malah orang asing juga berpendapat bahawa bahasa Melayu terlalu mudah untuk dipelajari, difahami dan dipertuturkan. Struktur bahasa dan penggunaan kata ganti nama yang mudah, iaitu tidak seperti bahasa yang lain seperti bahasa Inggeris merupakan faktor yang menyebabkan bahasa Melayu mudah untuk dipelajari.
Kepulauan Nusantara
Jika kita mengimbau kembali ke zaman kegemilangan bahasa Melayu suatu ketika dahulu, semestinya kita akan teringat dengan kerajaan-kerajaan yang telah berjaya mengangkat darjat bahasa Melayu ke peringkat yang tertinggi, iaitu kerajaan Sriwijaya, Majapahit dan Kesultanan Melayu Melaka. Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa komunikasi antara rakyat jelata, malah golongan atasan seperti raja, sultan, pembesar-pembesar dan golongan bangsawan juga turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pertuturan sehari-hari. Hal ini dapat dibuktikan melalui penemuan batu bersurat yang ditulis pada zaman kerajaan Sriwijaya seperti Batu Bersurat Kedukan Bukit, Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dan Batu Bersurat Karang Brahi (Nik Safiah Karim, 2010). Penulisan bahasa Melayu di dalam batu bersurat tersebut dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan Jawa Kuno. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mudah untuk dibentuk dan dilenturkan bagi disesuaikan dengan keadaan dan keperluan tertentu (Tatabahasa Dewan, 2008). Keempat-empat batu bersurat ini jelas memperlihatkan bahawa prasasti ini dibuat atas perintah raja yang memerintah ketika itu, iaitu raja kerajaan Sriwijaya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya dan jajahan takluknya.
Tidak ketinggalan, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka turut mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan pentadbiran. Kawasan pemerintahan Melaka bukan sahaja merangkumi seluruh semenanjung Malaysia, malah turut merangkumi Singapura dan Indonesia (sebahagian besar Sumatera). Pemerintahan Melaka terhadap negeri-negeri jajahan takluknya juga menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam penulisan undang-undang, urusan surat-menyurat kepada kerajaan lain yang ditulis menggunakan tulisan jawi. Secara tidak langsung, pengaruh Islam memberi dampak yang besar dari aspek tulisan dan kosa kata baharu. Penggunaan bahasa Melayu ketika zaman pemerintahan Melaka bukan sahaja terhad kepada penutur jati Melayu, bahkan pedagang-pedagang yang datang dari negara seperti China, India, Inggeris dan Timur Tengah juga mampu bertutur menggunakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan. Hal ini menjadikan, bahasa Melayu dikatakan sebagai bahasa lingua franca.
Demikianlah kuatnya pengaruh bahasa Melayu suatu ketika dahulu di kepulauan Nusantara sejak era kerajaan Sriwijaya hingga ke Kesultanan Melayu Melaka. Jika dahulu, bahasa Melayu begitu diperjuang dan dipertahankan hingga diangkat menjadi bahasa ilmu. Namun kini, bahasa Melayu semakin kurang mendapat tempat dalam kalangan penuturnya sendiri di Nusantara atau dalam kata lain, bahasa Melayu tidak lagi berfungsi sebagai lingua franca (Hanis Izrin Mohd Hassan et. al, 2017). Hal ini disebabkan oleh pengaruh kuat bahasa penjajah seperti bahasa Portugis di Indonesia, Sepanyol di Filipina dan Inggeris di Malaysia. Penggunaan bahasa asing yang begitu dominan kini menjadi titik tolak berlakunya peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa utama di kepulauan Nusantara. Hal ini menjadi semakin parah apabila bahasa Melayu mengalami percampuran kod dengan bahasa asing. Sebagai contohnya, percampuran kod bahasa Melayu dengan bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris semakin ketara dalam lirik lagu, rancangan televisyen, media sosial dan di dalam perbualan generasi sekarang. Penggunaan bahasa Melayu bukan setakat menjejaskan kedaulatan bahasa Melayu, bahkan boleh menyebabkan bahasa Melayu hilang identitinya.
Di samping itu, bukan sahaja melakukan percampuran kod, malah penutur bahasa Melayu juga didapati bertutur menggunakan bahasa asing meskipun sesama sendiri ialah orang Melayu. Perlu diketahui bahawa, penulis bukanlah seorang yang antibahasa asing, malah penulis menggalakkan pembelajaran bahasa asing. Namun, jika kita sebagai penutur bahasa Melayu, bertutur dalam bahasa asing sesama sendiri sudah tentu memperlihatkan kejanggalan. Persoalan yang hendak penulis timbulkan di sini ialah, “Jika kita sebagai penutur bahasa Melayu tidak mengangkat martabat bahasa kita sendiri, lalu siapakah yang bakal mengangkatnya?” dan “Adakah tugas dan tanggungjawab menjaga kedaulatan bahasa hanya diletakkan di atas bahu ahli bahasa semata-mata?.”
Penggunaan bahasa Melayu yang berkurangan dan tidak betul mengikut hukum tatabahasanya boleh menyebabkan bahasa Melayu menjadi semakin malap. Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai penutur bahasa Melayu untuk mengangkat bahasa kita di peringkat Nusantara. Setelah kukuh penggunaan di Nusantara, barulah kita tumpukan kepada peringkat antarabangsa. Oleh itu, beberapa kaedah perlu dilaksanakan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa di Nusantara. Pertama, negara-negara di kepulauan Nusantara haruslah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara masing-masing. Melalui kaedah ini sudah tentu bahasa Melayu akan diangkat darjatnya. Bagi negara-negara yang sudah mempunyai bahasa lain sebagai bahasa kebangsaan seperti Thailand dan Filipina, bolehlah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di negara masing-masing. Sebagai contohnya, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei sudah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara masing-masing. Melalui kaedah ini, sudah pasti bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang “berdiri sama tinggi, duduk sama rendahnya” dengan bahasa antarabangsa lain seperti bahasa Inggeris.
Selain itu, semua urusan rasmi dan surat-menyurat dalam jabatan-jabatan kerajaan antara negara di kepulauan Nusantara haruslah menggunakan bahasa Melayu. Apabila kaedah ini dilaksanakan, maka akan menarik minat negara lain untuk mempelajari bahasa Melayu. Sebagai contohnya, penggunaan surat-surat kerajaan seperti surat diplomatik dalam bahasa Melayu akan memperkasakan bahasa Melayu di Nusantara amnya. Melalui kaedah ini juga, kita dapat melihat perpaduan dan penyatuan antara negara di Nusantara dalam satu naungan bahasa, iaitu bahasa Melayu. Penulisan surat rasmi dalam bahasa Melayu sememangnya tidak menjadi satu masalah atau keraguan. Jika kita imbas kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka, kita dapat melihat bahawa sultan Melaka ketika itu telah menulis surat kepada kerajaan China menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu di dalam surat tidak mendatangkan murka terhadap Maharaja China, malah disambut baik dengan diterjemah golongan cerdik pandai istana di China. Hubungan China dengan Melaka juga erat ketika itu hingga wujudnya kesefahaman dan jalinan persaudaraan antara dua negara. Tegasnya, kaedah penulisan surat dalam surat rasmi kerajaan haruslah dipraktikkan juga di Nusantara kerana mampu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa di Nusantara.
Seterusnya, penterjemahan karya-karya sastera dan buku-buku ilmu bukan bahasa Melayu ke dalam bahasa Melayu haruslah digiatkan. Hal ini akan menjadikan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kaedah ini juga membuktikan bahawa bahasa Melayu juga mempunyai perbendaharaan kata yang luas dalam bidang ilmu. Sebagai contohnya, buku-buku ilmu dari Barat mestilah digiatkan penterjemahannya. Hal ini bertujuan menambah karya penterjemahan bahasa Melayu. Kajian mendapati bahawa, pengajaran ilmu menggunakan bahasa ibunda akan menyebabkan seseorang pelajar berjaya. Oleh itu, kita haruslah menggunakan kaedah ini untuk menaikkan darjat bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di kepulauan Nusantara.
Selanjutnya, media massa di kepulauan Nusantara mestilah memainkan peranan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Kewujudan program yang berbahasa Melayu boleh memperkasakan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pembikinan filem yang berbahasa Melayu mestilah diperbanyakkan lagi. Hal ini kerana, pengaruh media massa amat kuat dalam kalangan masyarakat. Masyarakat kini, ramai yang menonton wayang dan televisyen. Oleh itu, kaedah ini bersesuaian untuk dilaksanakan. Di samping itu, filem-filem bahasa Melayu ini nanti juga haruslah dipasarkan ke peringkat dunia bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat.
Akhir sekali, minda atau persepsi penutur bahasa Melayu di kepulauan Nusantara mestilah diubah. Hal ini kerana, dewasa ini, kini kita sering mendengar penutur bahasa Melayu yang suka mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Perbuatan ini sememangnya menghina dan merendahkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat. Sebagai contohnya, kita dapat melihat golongan remaja terutamanya menggunakan bahasa rojak di dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Wechat. Hal ini kerana, mereka berpendapat bahawa bahasa Inggeris sangat eksklusif dan diterima umum. Persepsi mereka ini haruslah diubah demi kebaikan bahasa Melayu. Tegasnya, minda dan persepsi penutur bahasa Melayu haruslah diubah.
Kesimpulannya, bahasa Melayu haruslah diperkasakan sebagai bahasa antarabangsa di kepulauan Nusantara. Semua pihak perlulah menggembleng sinergi untuk mengangkat darjat bahasa Melayu melalui kaedah-kaedah yang telah dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, usaha-usaha ini sememangnya memerlukan kerjasama dan gandingan yang kuat antara negara di Nusantara supaya pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa di Nusantara dapat dicapai.
Rujukan Penulis
- Hanis Izrin Mohd Hassan et. al. (2017). Kegemilangan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca. Jurnal Kesidang. Jilid 2: 18-30.
- Nik Safiah Karim et. al. (2010). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Nik Safiah Karim. (2010). Panorama Bahasa Melayu Sepanjang Zaman. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.


Ulasan
Catat Ulasan