Adab Mahasiswa Ketika Sesi Pembelajaran Secara Maya

Oleh: Akhmal Hakim bin Mohamad (Kemilau Adiwarna)


Penafian: Segala maklumat yang dinyatakan dalam ruangan ini adalah berdasarkan pendapat peribadi penulis tentang situasi semasa institusi pendidikan negara.





Pandemik COVID-19 yang melanda dunia bermula awal Februari 2020 telah menyebabkan banyak sektor pekerjaan, sama ada swasta atau kerajaan mengalami kerugian. Di negara kita, wabak yang mengancam nyawa tersebut telah menyebabkan semua sektor dalam negara mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM 303 bilion (MyMetro, 29 Mac 2020). Kerugian tersebut secara tidak langsung menggambarkan bahawa penyakit tersebut menjejaskan semua sektor yang menjana ekonomi negara dan menjadi punca kepada kehilangan mata pencarian dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, kerugian yang dinyatakan bukan sahaja menimpa sektor ekonomi, bahkan turut berlaku dalam sektor pendidikan.

        Wabak COVID-19 menjejaskan seluruh peringkat pendidikan, bermula dari peringkat pendidikan awal, rendah, menengah sehingga peringkat tinggi. Dampak wabak ini bukan sahaja dirasai oleh golongan pendidik, malah turut dirasai oleh para pelajar. Bahkan, dampak yang lebih besar adalah terhadap golongan pelajar, terutamanya yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Hal ini disebabkan oleh ketidakbolehaksesan terhadap alat atau medium perantara pendidikan secara maya seperti komputer, telefon pintar dan jaringan internet. Di samping itu, kadar jangkitan virus yang tinggi dan cepat telah menjadi satu daripada faktor para pelajar tidak bersedia secara mental, emosi dan fizikal terhadap kelas yang dilaksanakan secara maya. Pelaksanaan kelas secara maya dilihat telah menjadi satu perkara yang membebankan para pelajar dan ibu bapa.

        Bebanan dan cabaran mengikuti kelas secara maya bukanlah suatu momokan yang direkayasa. Pada bulan Jun 2020, pengguna laman media sosial telah digemparkan dengan peristiwa seorang pelajar sekolah menengah dari India yang membunuh diri kerana gagal mengikuti kelas dan menduduki peperiksaan secara atas talian (Sinar Harian, 24 Jun 2020). Pelajar yang berusia 16 tahun tersebut dilaporkan telah membunuh diri disebabkan kecewa kerana tidak memiliki telefon pintar untuk kegunaan kelas secara maya. Cabaran mengikuti kelas secara maya turut dialami oleh mahasiswa di Malaysia. Menurut perkongsian yang telah dimuat naik oleh seorang mahasiswa di laman Twitter dengan nama pengguna ‘@amirazril_’, pembelajaran secara maya menyebabkan mahasiswa berasa tertekan, malah hilang semangat untuk belajar. Antara faktor yang menyebabkan mahasiswa tertekan ialah masalah ketercapaian internet (terutama mahasiswa yang tinggal dalam kawasan luar bandar dan pedalaman), tarikh penghantaran tugasan yang singkat dan sumber maklumat yang terhad. Selain itu, terdapat juga segelintir mahasiswa yang melahirkan rasa tertekan kerana tidak mempunyai suasana tempat tinggal yang kondusif untuk belajar secara maya dan sering terganggu oleh persekitaran tempat tinggal yang bising.

        Cabaran-cabaran yang dinyatakan jelas membuktikan bahawa mahasiswa masih belum berada pada tahap seratus peratus bersedia dengan pendekatan secara maya ketika belajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang telah diarahkan oleh pihak kerajaan bermula bulan Mac yang lalu. Bersedia atau tidak golongan pelajar dalam menjalani pembelajaran secara maya, tidaklah lebih mustahak daripada inisiatif mereka dalam mencari kaedah atau penyelesaian kepada cabaran ini. Mahu tidak mahu, bersedia atau tidak bersedia, pelajar tetap harus berdepan (dan dipersiapkan untuk berdepan) realiti pembelajaran secara maya ini kerana pandemik ini bukan sesuatu yang dapat diramal dan dikawal dengan mudah.

        Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” dan “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Demikianlah peribahasa yang sesuai menggambarkan pentingnya penetapan minda dan usaha gigih dalam kalangan mahasiswa ketika menuntut ilmu. Peribahasa tersebut dapat disesuaikan dengan situasi semasa mahasiswa yang berhadapan dengan cabaran pembelajaran secara maya ketika pandemik. Dalam hal ini, mahasiswa seluruh Malaysia wajar mengambil iktibar dan mencontohi semangat tinggi yang ditunjukkan oleh seorang mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Saudari Veveonah Mosibin. Pada sekitar bulan Jun 2020, Saudari Veveonah Mosibin menjadi buah mulut dalam laman media sosial kerana memanjat pokok untuk mencapai jaringan internet bagi tujuan pembelajaran dan menduduki peperiksaan atas talian. Tindakannya telah membuka mata masyarakat Malaysia dan masyarakat dunia tentang pentingnya berusaha untuk mencapai kejayaan. Menurut Saudari Veveonah, dirinya mengaku pernah tertekan kerana di kawasan kampungnya tidak mempunyai capaian internet yang baik. Kendatipun begitu, dirinya tidak pernah menganggap masalah capaian internet di kampungnya sebagai penghalang utama untuk belajar.

        Berdasarkan situasi yang dialami oleh Saudari Veveonah, terdapat dua sifat yang perlu dicontohi oleh para mahasiswa bagi mendepani cabaran ketika menuntut ilmu. Pertama, sifat rajin berusaha dan kedua, sifat kesungguhan dalam menuntut ilmu. Kedua-dua sifat ini wajar menjadi amalan dalam diri mahasiswa agar semangat untuk menjadi insan berilmu tidak mudah patah. Walau bagaimanapun, sebagai mahasiswa yang berilmu, nilai adab ketika menuntut ilmu wajar diamalkan meskipun pembelajaran dilaksanakan secara maya. Kepentingan menegakkan ‘tiang adab’ dalam diri mahasiswa adalah penting kerana bukan sahaja dapat melahirkan mahasiswa yang berilmu semata-mata, bahkan dapat melahirkan mahasiswa unggul yang berilmu dan beradab.

         Bagi menjadi mahasiswa yang unggul, seseorang mahasiswa perlu menekankan aspek utama, iaitu adab ketika menuntut ilmu. Meskipun kelas yang dilaksanakan bukan secara konvensional seperti sebelum tempoh PKP, aspek adab juga perlu dititikberatkan oleh mahasiswa agar dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif. Umum mengetahui bahawa, ketika pembelajaran secara maya, ramai pendidik atau pensyarah menggunakan laman media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Zoom, Google Meet, Google Classroom, Skype dan sebagainya untuk menjadi wadah penyampaian ilmu.

       Oleh hal demikian, para mahasiswa perlu sentiasa menjaga adab mengikuti kelas secara maya. Persediaan yang rapi perlu diambil sebelum, ketika dan selepas kelas secara maya. Sebelum mengikuti kelas secara maya, mahasiswa perlu bersedia dalam pelbagai aspek. Aspek yang perlu dititikberatkan oleh mahasiswa ialah memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Hal ini meliputi keadaan sekeliling yang tidak bising, kemas dan pencahayaan yang terang. Perkara tersebut adalah penting untuk memastikan kelas berjalan secara lancar.  Tambahan pula, aspek berpakaian kemas dan sesuai juga perlu diteliti sebelum mengikuti kelas secara maya. Hal ini kerana, pakaian yang kemas dan sesuai mampu menyuntik semangat dan komitmen untuk belajar serta mencerminkan keperibadian mahasiswa yang menjaga penampilan diri. Di samping itu, perkara yang tidak dapat dikecualikan untuk diamalkan oleh pelajar sebelum mengikuti kelas ialah mengambil sarapan pagi sebelum kelas. Pengambilan sarapan adalah penting sebelum belajar kerana mampu membekalkan tenaga yang mencukupi sepanjang hari supaya lebih cergas dan produktif (Berita Harian, 18 Julai 2015).

         Setelah mengamalkan adab sebelum mengikuti kelas secara maya, mahasiswa perlu menekankan aspek adab ketika kelas berlangsung. Antara adab yang perlu diamalkan ketika kelas secara maya ialah berkelakuan sopan santun ketika berinteraksi dengan rakan-rakan atau pensyarah. Kelakuan sopan santun tersebut bukan sahaja meliputi aspek tindakan dan perbuatan sahaja tetapi turut melibatkan sopan santun berbahasa ketika berkomunikasi (secara lisan atau bertulis) dengan rakan-rakan dan pensyarah ketika kelas. Selain itu, adab yang dapat dipraktikkan ketika kelas berlangsung ialah mematikan mikrofon yang terdapat pada peranti masing-masing. Hal in bertujuan untuk mengelakkan segala bentuk gangguan ketika sesi pengajaran oleh pensyarah. Akhir sekali, adab yang tidak kurang pentingnya untuk diamalkan ialah memperlihatkan keterlibatan atau kehadiran yang aktif ketika kelas secara maya sedang berlangsung. Perkara tersebut termasuklah duduk di hadapan komputer, mencatat isi-isi penting serta mendengar segala ilmu yang disampaikan dengan tekun dan bukannya mematikan kamera peranti dan meninggalkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

       Selanjutnya, setelah mengikuti kelas secara maya, mahasiswa perlu bijak mengambil langkah untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Oleh kerana cabaran ketika belajar secara maya adalah lebih berat berbanding kelas secara konvensional, maka mahasiswa perlu bijak menguruskan masa dan menyiapkan tugasan tepat pada masanya. Perkara yang boleh dilaksanakan ialah membuat senarai tugasan yang perlu disiapkan berserta tarikh penghantarannya. Senarai tugasan pensyarah yang disediakan perlu mengutamakan tugasan yang perlu dihantar berdasarkan tarikh yang terdekat. Hal ini mampu memudahkan para pelajar sentiasa peka dengan tarikh-tarikh penting. Di samping itu, adab yang boleh diamalkan untuk memastikan pemahaman yang kukuh tentang mata pelajaran yang ditekuni ialah mahasiswa digalakkan untuk merakam sesi PdP secara maya (dengan mendapat persetujuan pensyarah). Hal ini kerana rakaman tersebut mampu diulang dan dapat memudahkan ulang kaji. Rakaman sesi PdP tersebut bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa yang berada dalam talian, tetapi turut dapat dikongsikan kepada mahasiswa yang ketinggalan kerana mempunyai masalah capaian internet.

    Berdasarkan perkongsian mengenai adab-adab ketika pembelajaran secara maya, dapatlah disimpulkan bahawa keutamaan beradab ketika menuntut ilmu adalah penting bagi melahirkan mahasiswa unggul, iaitu mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut beradab. Meskipun situasi semasa negara yang masih memerangi penyakit COVID-19, sektor pendidikan perlu sentiasa diutamakan dengan pengadaptasian terhadap kebiasaan baharu dalam dunia pendidikan seperti kelas secara maya. Disebabkan pelaksanaan kelas secara maya masih lagi baharu bagi sesetengah mahasiswa, perbincangan dan penyelesaian secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan kelas secara maya bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa yang tinggal di bandar, tetapi turut memberikan peluang dan manfaat kepada mahasiswa yang tinggal di kawasan luar bandar. Perbincangan dan penyelesaian yang lebih terperinci terutamanya aspek kebolehcapaian jaringan internet dan peranti yang menyokong pembelajaran secara maya perlulah dititkberatkan.

 

Ulasan