Oleh: Akhmal Hakim bin Mohamad (Kemilau Adiwarna)
Penafian: Segala maklumat yang dinyatakan dalam ruangan ini adalah berdasarkan pendapat penulis yang berpandukan kepada pembacaan dan pengamatan terhadap penulisan ilmiah serta pengalaman ketika menulis kertas kajian ilmiah, artikel, jurnal dan buku. Maklumat yang dinyatakan telah disertakan dengan sumber rujukan agar pengunjung dapat membuat pembacaan yang lebih lanjut. Penulis tidak akan bertanggungjawab terhadap kehilangan atau kerugian yang dihadapi oleh pengunjung kerana menggunakan penulisan ini.
Pengenalan kepada Bahasa Akademik
Bahasa akademik atau juga dikenali sebagai bahasa ilmiah digunakan dalam beberapa media seperti makalah, rencana, artikel, ensiklopedia dan buku-buku ilmiah. Terdapat pelbagai cabang ilmu yang wujud di dunia dan pemahaman terhadap ilmu tersebut hendaklah menggunakan laras bahasa yang bertepatan dengan piawaian dan dapat difahami oleh sasaran, iaitu pembaca. Penggunaan laras bahasa digambarkan melalui penggunaan pilihan kata atau istilah dan struktur ayat yang tertentu (Abdullah Hassan, 1991). Justeru, penulisan yang menggunakan laras bahasa akademik adalah berbeza dengan penulisan yang menggunakan laras bahasa sukan, masakan dan laras-laras bahasa yang lainnya. Hal ini kerana penyampaian sesuatu yang bersifat ilmu perlulah bersandarkan kepada hujah dan fakta yang benar, formal, tersusun, mudah difahami dan mematuhi tatabahasa baku.
Menurut Kamus Oxford Edisi Kedua (2012) perkataan
bahasa boleh didefinisikan sebagai sistem komunikasi dalam pertuturan dan
penulisan yang digunakan oleh penduduk sebuah negara tertentu. Perkataan akademik pula didefinisikan sebagai sesuatu yang berkait rapat dengan
pendidikan atau ilmiah. Oleh itu, jika kedua-dua istilah tersebut dirangkaikan, maka boleh didefinisikan sebagai laras bahasa yang digunakan oleh komuniti akademik (ilmuwan) dalam
penulisan yang berkaitan ilmu.
Seperti yang telah dinyatakan dalam perenggan yang pertama, sesuatu penulisan yang bersifat ilmiah atau akademik perlu disokong berdasarkan (i) hujah dan fakta yang benar, (ii) formal, (iii) tersusun, (iv) mudah difahami dan (v) mematuhi tatabahasa. Semua unsur utama tersebut dapat dijadikan sebagai panduan kepada para penulis atau penyelidik yang hendak menjalankan penulisan yang bersifat akademik. Di samping kelima-lima unsur tersebut, terdapat juga ciri-ciri lain yang menjadikan sesuatu penulisan tersebut adalah bersifat akademik. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang penulis atau penyelidik yang bakal menulis perkara yang berkaitan ilmu, pengetahuan tentang ciri-ciri bahasa akademik perlulah ditelusuri supaya dapat menghasilkan penulisan yang bermutu. Oleh itu, bahagian yang seterusnya akan menyentuh dengan lebih terperinci ciri-ciri bahasa akademik berserta contoh-contohnya.
Ciri-ciri Bahasa Akademik
Terdapat
beberapa ciri atau kriteria yang penting bagi mengklasifikasikan sesebuah karya
itu sama ada dalam laras bahasa akademik ataupun sebaliknya. Kriteria-kriteria
tersebut ialah (i) hujah dan fakta yang benar, (ii) formal, (iii) tersusun, (iv) mudah difahami dan (v) mematuhi tatabahasa.
1.0 Hujah dan Fakta yang Benar
Penulisan akademik mementingkan isi-isi yang disokong hujah dan fakta yang benar. Tanpa hujah dan fakta, maka sesuatu isi tidak dapat dibuktikan dan tidak dapat diterima kebenarannya. Justeru, penulisan akademik yang mempunyai hujah dan fakta yang benar perlu disokong dengan (i) kelogikan (diterima akal) dan (ii) disertakan dengan rujukan sumber.
Logik
dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang masuk akal. Maka, sesebuah penulisan
yang menggunakan bahasa akademik haruslah memiliki kriteria ini bagi
membuktikan kebenaran sesuatu hujah atau perkara yang hendak disampaikan. Jika
sesuatu perkara yang hendak disampaikan adalah tidak logik maka dapatlah
dikategorikan sebagai penulisan dalam laras bahasa kreatif atau sastera. Selain itu,
kelogikan sesuatu maklumat amat penting terutama sekali jika melibatkan kajian
saintifik. Tambahan pula, kelogikan haruslah mudah difahami dan tidak
bercanggah dengan maklumat lain. Berikut merupakan contoh ayat logik dan tidak
logik:
Contoh Ayat Logik:
Matahari timbul dari sebelah timur.
Contoh Ayat Tidak Logik:
Matahari timbul dari sebelah utara dan selatan. Kadang-kadang boleh juga timbul dari arah tenggara.
Selain itu, unsur penting yang menyokong hujah dan fakta ialah menyertakan sumber rujukan dan memetik pendapat daripada ilmuwan atau ahli akademik yang lain. Perkara tersebut adalah penting supaya penulisan yang ditulis tidak berat sebelah, diyakini dan sahih. Sebagai contoh, jika diteliliti buku-buku ilmiah, sumber rujukan maklumat akan dinyatakan dalam bahagian bibliografi (disusun mengikut turutan abjad) dan kebanyakan pengarang buku akan menyertakan nama ilmuwan atau ahli akademik ke dalam penulisan. Berikut merupakan contoh bibliografi dan kaedah memetik nama (name citation) yang sering digunakan dalam penulisan akademik:
Contoh Bibliografi (Berdasarkan Kaedah APA Edisi ke-7):
Asmah Haji Omar. (2015). Susur Galur Bahasa Melayu (2 ed.). Dewan Bahasa dan Pustaka.
James T. Collins. (2016). Dialek
Melayu Sarawak (2 ed.). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Contoh Perenggan Memetik Nama Ilmuwan dan Ahli Akademik (Contoh dipetik daripada buku Etimologi Bahasa Melayu oleh S. Nathesan):
Hans Henrich dan Joseph (1996) menjelaskan bahawa etimologi pada hakikatnya menjadi asas dalam bidang linguistik sejarah untuk menentukan asal usul perkataan kerana hal memahami perubahan bahasa amat penting dalam kedua-dua bidang ini.
2.0 Formal dan Bermatlamat
Satu daripada ciri penting dalam laras bahasa akademik ialah bersifat formal dan bermatlamat. Formal dapat diertikan sebagai menurut peraturan, manakala matlamat pula ialah sasaran dan tujuan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Jika disesuaikan mengikut konteks laras bahasa, perkataan "formal" merujuk kepada peraturan gaya penulisan untuk bacaan umum dan bersifat rasmi. Lantaran itu, penggunaan bahasa hendaklah formal dan menggunakan bahasa yang selaras. Maka, secara mutlaknya, penggunaan bahasa utama perlulah digunakan dalam penulisan akademik. Sebagai contoh, jika buku yang diterbitkan adalah untuk pembaca yang terdiri daripada masyarakat majmuk di Malaysia tanpa mengira latar belakang pendidikan dan kaum, maka penggunaan bahasa Melayu baku wajar digunakan. Hal ini kerana bahasa Melayu baku difahami oleh seluruh lapisan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, sebarang bentuk penggunaan bahasa lain seperti bahasa daerah atau dialek, tidak wajar digunakan kerana hanya dapat difahami oleh kelompok tertentu sahaja. Berikut merupakan contoh ayat yang menggunakan bahasa formal (wajar dicontohi) dan bahasa daerah (wajib dielakkan):
Contoh Ayat Formal:
Kajian mendapati bahawa suntikan vaksin dapat mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19.
Contoh Ayat Tidak Formal (Bahasa daerah yang bercampur dengan bahasa asing):
Kajian madah tek nginject vaksin boleh ngurang risiko kitak urang kenak jangkit COVID-19.
Di samping itu, penggunaan istilah atau perkataan perlulah sesuai dengan laras akademik yang bersifat formal. Contoh istilah atau perkataan yang sesuai adalah seperti dalam contoh di bawah:
Ayat Tepat:
Kajian dilaksanakan untuk membuktikan bahawa pelajar lelaki lebih gemar menghabiskan masa bermain permainan komputer berbanding pelajar perempuan.
Ayat Kurang Tepat:
Kajian dibuat untuk membuktikan bahawa pelajar lelaki lebih gemar menghabiskan masa bermain permainan komputer berbanding pelajar perempuan.
Berdasarkan contoh di atas, perkataan "dilaksanakan" dan "dibuat" mempunyai makna yang sama. Namun, sifat 'keformalannya' adalah berbeza. Berdasarkan laras akademik, perkataan "dilaksanakan" adalah lebih sesuai digunakan berbanding "dibuat". Hal ini kerana perkataan "dibuat" lebih dominan digunakan dalam percakapan seharian (dalam bahasa basahan).
Selain keformalan, penulisan akademik juga bersifat mempunyai matlamat atau objektif. Matlamat penulisan bergantung kepada pengarang. Pengarang perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk menulis dan mempunyai isu-isu utama yang menjurus kepada penulisan tersebut. Kebiasaannya, matlamat penulisan dinyatakan dalam bab yang pertama dan disertakan sekali dengan permasalahan yang timbul sehingga penulisan tersebut dilakukan. Bagi penulisan kajian untuk terbitan jurnal, tesis atau artikel matlamat kajian perlulah mematuhi ketetapan Taksonomi Bloom (Bloom's Taxonomy). Matlamat tersebut juga penting bagi memberikan pemahaman yang jelas tentang arah tuju penulisan, memudahkan pembaca memahami analisis dan menjawab persoalan-persoalan kajian. Lazimnya, penulisan matlamat kajian boleh dinyatakan dengan menyenaraikan secara mudah dan mengikut ayat lengkap. Berikut disertakan contoh-contoh bagi objektif:
Objektif dengan Kaedah Penyenaraian:
Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan:
1. Mengenal pasti jumlah murid tahap satu yang mempunyai masalah pembelajaran mengikut kelompok.
2. Menganalisis masalah pembelajaran murid tahap satu mengikut kelompok.
3. Merumuskan kaedah yang sesuai untuk mengatasi masalah pembelajaran.
Objektif dengan Kaedah Ayat Lengkap:
Kajian ini dilaksanakan bagi mengenal pasti jumlah murid tahap satu yang mempunyai masalah pembelajaran mengikut kelompok. Setelah kelompok murid dikenal pasti, maka analisis akan dijalankan bagi mengetahui secara terperinci masalah pembelajaran yang dihadapi. Akhir sekali, murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran akan diberikan latihan atau diajar berdasarkan kaedah yang sesuai dengan kemampuannya.
3.0 Jelas
Penggunaan bahasa akademik mempunyai unsur jelas, iaitu nyata dan tidak mengelirukan pembaca. Kejelasan ini ditunjukkan melalui pembinaan ayat yang jelas dan tepat, tidak dapat disalahtafsirkan serta mempunyai perkembangan idea secara logik dan sistematik. Selain itu, kejelasan juga disertai dengan fakta yang benar bagi rujukan pembaca. Berikut merupakan contoh kejelasan dalam bahasa akademik.
Contoh Kejelasan:
Kini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan remaja berada dalam tahap yang tidak memuaskan. Hal ini disebabkan oleh faktor pergaulan remaja dalam kehidupan (ayat yang memberi penjelasan).
4.0 Mengandungi Perbincangan dan Analisis
Penulisan ilmiah sememangnya mengandungi perbincangan yang khusus. Tanpa perbincangan dan analisis, sudah tentu penulisan tidak mempunyai nilai kebolehpercayaan dan boleh diyakini kerana mengikut perasaan penulis, iaitu penuh dengan khayalan dan rekaan. Setiap perbincangan dan analisis perlu disokong dengan hujah atau fakta saintifik bagi situasi yang tertentu. Seseorang perlu menyertakan hujah atau fakta yang dipetik daripada sumber-sumber yang sahih. Kaedah memetik nama ilmuwan, jurnal, artikel dan lain-lain telah dijelaskan dalam subtajuk (1.0 - Hujah dan Fakta yang Benar) di atas. Berikut merupakan contoh petikan yang mengandungi perbincangan dan analisis:
Contoh Ayat Perbincangan dan Analisis:
Di seluruh kawasan di dunia didapati terdapat pelbagai jenis angin tempatan. Antara angin tempatan ialah Bayu Darat dan Bayu Laut. Bayu Darat dan Bayu Laut terjadi disebabkan terdapat perbezaan sifat di antara daratan dan lautan dalam menyerap dan melepaskan tenaga panas matahari. Bahagian daratan ternyata menyerap dan melepaskan tenaga panas matahari dengan lebih cepat berbanding lautan (National Geographic Journal, 2005).
5.0 Kohesi
Kohesi boleh dikaitkan dengan keserasian sesuatu ayat dengan ayat yang seterusnya. Dalam bahasa yang mudah, kohesi mengikut konteks bahasa akademik membawa erti ayat yang saling bertautan dan bergabungan. Tanpa keserasian dalam penulisan bahasa akademik, maka akan terjadilah percanggahan maklumat. Kohesi berfungsi bagi memberi keserasian ayat supaya menjadi jelas dan boleh difahami. Berikut merupakan contoh kohesi:
Contoh Kohesi:
Serangan buaya di Sungai Sadong Jaya, Sarawak semakin membimbangkan. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menangkap reptilia tersebut namun menemui jalan buntu.
Penerangan Ayat:
Dapat diperhatikan bahawa perkataan buaya dan reptilia mempunyai kaitan atau keserasian. Hal ini kerana buaya merupakan sejenis haiwan reptilia. Namun, jika perkataan buaya digandingkan dengan perkataan amfibia, sudah tentu akan berlaku percanggahan maklumat dan wujud ketidakserasian ayat.
6.0 Tatabahasa yang Tepat
Tatabahasa merupakan aspek yang terpenting kerana mempengaruhi struktur ayat serta penggunaan kata atau istilah yang tepat bagi sesuatu ayat. Selain itu, jika tidak menggunakan tatabahasa yang tepat, sudah tentu terdapat kesalahan dan hal ini boleh menyebabkan kekeliruan. Unsur tatabahasa boleh dikaitkan dengan susunan ayat (struktur ayat), pembentukan kata terbitan dan kata majmuk (morfologi) dan juga sistem ejaan. Berikut merupakan contoh ayat yang menggunakan tatabahasa yang tepat dan salah:
Contoh Ayat yang Menggunakan Tatabahasa yang Tepat:
Hujan merupakan kejadian alam semulajadi yang membentuk kitaran air di bumi.
Contoh Ayat yang Menggunakan Tatabahasa yang Salah:
Hujan merupakan kejadian alam semula jadi yang dibentuk kitaran air ke bhumi.
Kesimpulan
Berdasarkan keenam-enam ciri yang dinyatakan, jelaslah bahawa perbincangan mengenai sesuatu perkara atau isu yang melibatkan ilmiah atau akademik perlulah mematuhi laras bahasa akademik yang betul. Hal ini kerana, penulisan akademik yang berkualiti melambangkan keperibadian dan kredibiliti seseorang penulis. Oleh itu, sebagai seorang penulis yang bakal menulis dalam laras bahasa akademik, pematuhan kepada laras bahasa yang betul sememangnya dapat menjamin kualiti penulisan dan melambangkan kekritisan seseorang penulis ketika mengulas sesuatu isu atau perbincangan ilmiah. Jika anda berminat untuk membaca contoh penulisan yang mempunyai laras bahasa akademik, anda boleh menekan pautan di bawah:
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat buat anda.

Ulasan
Catat Ulasan